|
PM saran badan bantu diri laksana lebih banyak program berbilang
kaum
Oleh Noor A. Rahman
"Saya gembira ,menghadiri
majlis anda tetapi pada masa yang sama, saya berasa khuatir sedikit.
Sebabnya, saya telah banyak menghadiri majlis yang dianjurkan oleh
badan-badan Melayu dalam beberapa bulan lalu. Jika saya menghadiri
majlis anda, diikuti dengan lebih banyak majlis berasaskan kaum,
katakan oleh masyarakat Cina dan Serani, saya mungkin akan memberi
isyarat salah bahawa pemerintah sekarang lebih gemarkan pendekatan
berasingan yang berasaskan kaum, terhadap politik.
Saya ingin tekankan di sini bahawa matlamat nasional kita tetap
pada integrasi kaum-kaum yang berlainan. Ini bererti meluaskan bidang
bersama. Ia bermakna mencari lebih banyak masa untuk semua kaum
berkumpul dan bergaul, bertentangan dengan mengadakan kegiatan dan
majlis menurut garis kaum."
--Perdana Menteri, Encik Goh Chok Tong, di majlis jamuan teh anjuran
Sinda semalam.
BADAN-BADAN bantu diri seperti Sinda, Mendaki, Majlis Bantuan Pembangunan
Masyarakat Cina (CDAC) dan Persatuan Serani harus melaksanakan lebih
banyak program secara bersama dengan penyertaan dari anggota masyarakat
pelbagai kaum.
Keupayaan badan-badan tersebut untuk mendekati anggota masyarakat
masing-masing harus dimanfaatkan untuk melakukan program peningkatan
dan latihan bersama kaum-kaum lain.
Membuat seruan demikian semalam, Perdana Menteri, Encik Goh Chok
Tong, berkata cara demikian bukan sahaja membantu meningkatkan penggunaan
sumber yang ada, bahkan lebih penting lagi, dapat membangun masyarakat
berbilang bangsa yang lebih utuh.
"Bagaimanapun, seruan saya bagi satu pendekatan lebih berbilang
kaum ini tidak harus dilihat sebagai satu perubahan dasar yang tidak
lagi bergantung pada badan-badan bantu diri berasaskan kaum," ujar
beliau semasa berucap di majlis jamuan teh bagi sukarelawan Persatuan
Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda) di Suntec City.
Menurut Encik Goh, untuk membentuk sebuah masyarakat berbilang kaum
yang utuh dan bersatu akan mengambil masa.
Buat masa ini, realitinya ialah ramai warga Singapura yang tetap
lebih senang meminta bantuan daripada anggota kaum mereka sendiri.
Perdana Menteri menekankan, kumpulan-kumpulan bantu diri telah berjaya.
Mereka telah membuat banyak kemajuan untuk meningkatkan pencapaian
kaum mereka masing-masing.
"Saya tidak yakin kita akan berkesan seperti sekarang dalam menarik
sukarelawan dan mendekati ramai pelajar serta pekerja seandainya
kita gunakan pendekatan berlainan. "Namun, sedang kita mengamalkan
dasar bantu diri, kita mesti sentiasa ingat bahawa kita adalah masyarakat
berbilang kaum.
"Sebuah Singapura berbilang kaum memberikan kita kemantapan yang
perlu untuk maju. Ia juga memberi kita kelebihan yang unik.
"Dengan bergantung kepada kekuatan yang saling melengkapi antara
setiap kaum, kita menjadi lebih kuat keseluruhannya," ujar Encik
Goh lagi.
Majlis semalam diadakan untuk menghargai sumbangan para sukarelawan
Sinda dalam membantu badan bantu diri itu.
Ia dihadiri lebih 3,000 orang termasuk sukarelawan, penderma dan
pemimpin masyarakat India.
|